Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa,
“Sesungguhnya Allah telah menciptakan malaikat Jibrail dengan
bentuk yang sangat elok. Jibrail mempunyai 124,000 sayap dan di antara
sayap-sayap itu terdapat dua sayap yang berwarna hijau seperti sayap
burung merak, sayap itu antara timur dan barat. Jika Jibrail menebarkan
hanya satu daripada beberapa sayap yang dimilikinya, maka ia sudah cukup
untuk menutup dunia ini”.
Setelah memandang dirinya yang tampak begitu indah dan sempurna, maka malaikat Jibrail pun berkata kepada Allah,
“Wahai Rabbku, apakah Engkau menciptakan makhluk lain yang lebih baik daripada aku?”
Kemudian Allah pun menjawab pertanyaan malaikat Jibrail,
“Tidak”.
Mendengar jawapan Allah, maka malaikat Jibrail pun berdiri
dan melakukan solat dua rakaat untuk bersyukur kepada Allah. Pada setiap
rakaat solat yang dikerjakan oleh malaikat Jibrail, dia menghabiskan
masa selama 20,000 tahun lamanya.
Setelah malaikat Jibrail selesai melaksanakan solatnya, kemudian Allah pun berfirman kepadanya,
“Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang
bersungguh-sungguh dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu seperti
ibadah yang kamu lakukan, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang
seorang nabi yang mulia, yang paling Aku cintai bernama Muhammad. Dia
mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa.
Seandainya mereka mengerjakan solat dua rakaat walau hanya
sebentar dan dalam keadaan lupa serta serba kurang, dengan pikiran yang
melayang-layang dan dosa mereka pun besar, maka demi kemuliaanKu dan
ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu lebih Aku sukai daripada
solatmu. Hal tersebut kerana mereka telah mengerjakan solat itu atas
perintahKu sedangkan solat kamu bukan atas perintahKu”.
Setelah mendengar hal tersebut, Jibrail pun kembali bertanya kepada Allah,
“Ya Rabbku, apakah yang Engkau berikan kepada mereka sebagai ganjaran atas ibadah mereka kepadaMu?”
Maka Allah berfirman yang ertinya,
“Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma’waa sebagai tempat tinggal mereka”.
Malaikat Jibril kemudian meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma’waa tersebut.
Setelah Allah memberikan izin kepadanya, maka malaikat
Jibrail pun mengembangkan sayapnya dan terbang menuju syurga Ma’waa.
Satu hayunan sayap malaikat Jibrail adalah sama dengan jarak perjalanan
selama 3000 tahun. Maka terbanglah malaikat Jibrail selama beberapa lama
perjalanan, malaikat Jibrail akhirnya kepenatan dan turun untuk singgah
dan berteduh di bawah sebuah pohon. Di sana ia bersujud kepada Allah
lalu berkata,
“Ya Rabbku, apakah aku telah menempuh setengah atau sepertiga atau seperempat dari perjalanan menuju ke syurga Ma’waa?”
Maka Allah pun berfirman,
“Wahai Jibrail, meskipun kamu mampu terbang selama 3000 tahun
dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang
engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan,
nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa puluhan
yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua
rakaat yang mereka kerjakan”.
Sabda Rasulullah,
“Sebelah kanan sayap Jibrail terdapat gambar syurga berserta
dengan segala isinya termasuk bidadari-bidadari, istana, pelayan dan
sebagainya manakala sayapnya yang sebelah kiri terdapat gambar neraka
dan segala isinya yang terdiri daripada beberapa macam ular yang cukup
bisa, kala jengking dan neraka yang bertingkat-tingkat serta penjaganya
yang terdiri daripada malaikat yang garang dan ganas yakni malaikat
Zabaniyah“.
Kata Rasulullah lagi,
“Apabila telah sampai ajal seseorang itu, maka akan masuklah
satu kumpulan malaikat ke dalam lubang kecil pada badan manusia kemudian
mereka akan menarik rohnya dari kedua telapak kaki hingga lutut dan
mereka pun keluar. Setelah itu datang lagi sekumpulan malaikat masuk
menarik roh dari lutut ke perut. Begitulah seterusnya dari perut ke dada
dan dada ke kerongkongnya. Itu saat nazak seseorang”.
“Kalau orang yang nazak itu orang beriman, maka malaikat
Jibrail akan menebarkan sayapnya yang sebelah kanan sehingga orang itu
dapat melihat kedudukannya di syurga sehingga terlupa orang-orang di
sekelilingnya. Jika orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail
akan menebarkan sayap sebelah kiri untuk menunjukkan tempatnya di neraka
sehinnga ia menjadi sangat takut serta lupa kepada keluarganya”, kata
Rasulullah.
Kita sebagai umat Islam mesti mengakui kebenaran ini dan ia
adalah sama seperti kita beriman kepada perkara ghaib. Tidaklah mustahil
bagi Allah untuk menciptakan segala sesuatu kerana Dia maha pencipta.
Cukuplah sekadar kita melihat langit yang tidak bertiang, bukankah ia
perkara mustahil bagi manusia untuk membuatnya?
0 comments:
Post a Comment